Jalan Sekitar SMK Chung Cheng Bakal Diperluas Demi Keselamatan Pelajar
SIBU: Aspek keselamatan pelajar menjadi keutamaan dalam usaha menaik taraf infrastruktur di sekitar Sekolah Menengah (SMK) Chung Cheng apabila laluan jalan berhampiran sekolah itu dikenal pasti perlu diperluas serta melibatkan pemindahan tiang utiliti.
Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, projek berkenaan berkait rapat dengan keselamatan harian pelajar, guru serta penduduk setempat.
Menurut beliau, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan pelaksanaan projek dapat dijalankan dengan lancar dan mencapai hasil terbaik.
“Perkara ini melibatkan keselamatan dan keselesaan harian, justeru kerjasama semua pihak amat penting untuk mencapai penyelesaian terbaik,” katanya ketika mengetuai lawatan tapak di kawasan tersebut, pada Isnin.
Lawatan itu turut disertai oleb ahli lembaga pengarah sekolah serta jurutera Sarawak Energy Berhad (SEB), Louis Song, dengan fokus kepada isu pelebaran jalan dan pemindahan tiang lampu.
Dalam pada itu, Kevin memaklumkan beliau akan membantu pihak sekolah dalam menguruskan prosedur permohonan bagi melancarkan pelaksanaan projek berkenaan.
Sementara itu, Louis berkata permintaan bekalan elektrik di sekolah berkenaan semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk penggunaan pendingin hawa dan pelbagai peralatan elektrik.
Katanya, situasi itu menimbulkan kebimbangan terhadap kapasiti sistem sedia ada, sekali gus mendorong pihak SEB menjalankan penilaian di tapak bagi meneliti kesesuaian pelarasan talian elektrik serta infrastruktur berkaitan.
Dalam perkembangan sama, Kevin memaklumkan pemindahan tiang utiliti berkemungkinan melibatkan tanah milik persendirian dan perbincangan awal telah diadakan dan persetujuan awal daripada penduduk serta pemilik tanah terlibat juga telah diperoleh.
“Diharapkan melalui rundingan berterusan dan kerjasama semua pihak, sumber serta pandangan awam dapat digabungkan bagi menambah baik kemudahan setempat, sekali gus mewujudkan persekitaran lebih selamat dan selesa,” ujarnya.-EDISI UKAS