10 Tahun DBNA Bidayuh Council of Elders Perkasa Adat, Pendidikan & Kepimpinan Komuniti
KUCHING: Sedekad penubuhan DBNA Bidayuh Council of Elders bukan sekadar mencatat sejarah, malah menjadi bukti komitmen berterusan dalam memperkasa adat, memacu pendidikan dan membentuk kepimpinan komuniti Bidayuh yang berdaya tahan serta relevan dengan cabaran semasa.
Majlis Makan Malam sempena ulang tahun ke-10 penubuhan badan tersebut pada Isnin menghimpunkan barisan pemimpin negeri serta tokoh masyarakat Bidayuh.
Majlis anjuran DBNA Bidayuh Council of Elders itu diserikan dengan kehadiran Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, selaku tetamu kehormat.
Dalam ucapannya, beliau menekankan konsep “Prima” yang membawa maksud “panglima” dalam bahasa Bidayuh Biatah sebagai simbol kepimpinan berwibawa, berani dan berjuang demi kepentingan masyarakat.
“Prima bukan merujuk kepada individu tertentu, tetapi kepada sesiapa sahaja yang memimpin pada sesuatu masa. Dialah ‘Prima’ yang sebenar,” katanya.
Menurut beliau, konsep tersebut mencerminkan nilai kepimpinan sejagat yang turut mempunyai persamaan dalam pelbagai bahasa termasuk Latin dan Melayu, sekali gus menegaskan kepentingan kualiti kepimpinan dalam membina komuniti yang progresif.
Mengulas mengenai adat, beliau turut mengimbas sejarah penggubalan undang-undang adat Bidayuh melibatkan kawasan Bau, Lundu, Serian dan Siburan, serta menegaskan keperluan menilai semula beberapa peruntukan agar selari dengan realiti semasa.
“Kadar denda yang terlalu rendah tidak lagi berkesan sebagai pengajaran. Kita perlu mempertimbangkan pindaan agar hukuman lebih setimpal dan mampu menjadi pencegah,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan agar isu pengurusan tanah perkuburan dalam komuniti Bidayuh yang berbeza antara kampung dan institusi gereja dibincangkan secara menyeluruh bagi mencari penyelesaian yang inklusif.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pendidikan sebagai “senjata utama” dalam memajukan komuniti, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Pendidikan bukan sekadar untuk mendapatkan kelulusan tinggi, tetapi untuk melahirkan individu yang inovatif dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara,” katanya.
Beliau turut menggalakkan masyarakat memanfaatkan peluang dalam ekonomi hijau serta teknologi baharu seperti tenaga solar dan pengurusan karbon demi kelestarian masa depan.
Sementara itu, Temenggong Henry Bujang Sendan menzahirkan rasa bangga terhadap penglibatan meluas pemimpin masyarakat termasuk generasi muda dalam sambutan tersebut.
Menurut beliau, penyertaan golongan muda amat penting bagi memastikan kesinambungan warisan, budaya dan undang-undang adat masyarakat Bidayuh terus terpelihara.
Beliau turut mengimbas penubuhan Bidayuh Council of Elders yang dicetuskan pada 22 Julai 2014 oleh Datuk Amar Michael Manyin Jawong, sebelum mesyuarat rasmi pertama diadakan pada 27 Januari 2015.
“Pada peringkat awal, kami membincangkan peranan serta fungsi majlis termasuk kekangan sumber dan keperluan mengelakkan pertindihan dengan organisasi lain,” katanya.
Tambah beliau, majlis tersebut berperanan sebagai badan penasihat dan penyelia khususnya dalam tiga bidang utama iaitu budaya, warisan dan undang-undang adat.
Majlis makan malam itu bukan sahaja menjadi simbol penghargaan terhadap sumbangan pemimpin dan golongan tua, malah memperkukuh perpaduan serta komitmen masyarakat Bidayuh dalam memelihara identiti dan memacu pembangunan komuniti sepanjang sedekad penubuhannya. -EDISI UKAS