KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa komuniti digital dan usahawan tempatan menerusi pengoperasian penuh Batu Kawa Innovation Hub (BKIH), yang kini dibuka untuk tempahan dan penggunaan awam.
Terletak secara strategik di An Cheng Ho Sports & Community Hall, hab inovasi ini menyediakan ruang kondusif bagi menyokong pelbagai aktiviti termasuk kerja profesional, mesyuarat serta penganjuran acara komuniti dan keusahawanan.
Penubuhan BKIH merupakan cetusan idea Timbalan Premier Sarawak merangkap ADUN Batu Kawah, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian dan direalisasikan dengan sokongan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Inisiatif ini menjadi sebahagian daripada pelan induk transformasi berterusan untuk memperkasakan Batu Kawa sebagai pusat kecemerlangan digital yang mampan.
BKIH menawarkan tiga fasiliti utama iaitu Bilik Mesyuarat berkapasiti sehingga 10 orang lengkap dengan internet berkelajuan tinggi, Smart TV, akses pantri dan perkhidmatan pembersihan, Hot Desk yang boleh menempatkan sehingga 30 pengguna dengan kemudahan cetakan serta akses kepada program pembangunan kapasiti dan keusahawanan, serta Ruang Acara yang sesuai untuk 30 hingga 80 peserta dengan kemudahan teknologi dan internet berkelajuan tinggi.
Inisiatif ini bertujuan menyediakan ruang kerja mampu milik serta platform sokongan kepada usahawan, pelajar, syarikat pemula dan komuniti setempat untuk berkembang dalam ekonomi digital.
Orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan secara dalam talian melalui laman web rasmi TEGAS di booking.tegas.org.my dengan memilih Batu Kawa Innovation Hub dan klik “Get a Quote” bagi semakan ketersediaan serta pengesahan tempahan.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Seksyen Komunikasi Korporat & Sekretariat TEGAS di talian +6012 8839070 atau emel lista@tegas.org.my.-EDISI UKAS