Program SKAS DUN Krian Pastikan Keperluan Asas Rakyat Terpenuhi
KRIAN: Program Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) peringkat DUN Krian akan dilancarkan pada 11 April 2026, bertujuan memastikan kebajikan rakyat khususnya golongan memerlukan terus terpelihara melalui penyediaan keperluan asas secara sistematik dan menyeluruh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata program ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Sarawak untuk membantu masyarakat yang memerlukan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan DUN Krian.
“Pelaksanaan SKAS bukan sahaja menyediakan bantuan keperluan asas, malah memberi peluang kepada komuniti untuk mendapatkan maklumat dan sokongan secara langsung daripada pihak kerajaan.
“Ini selari dengan aspirasi pembangunan inklusif di bawah PCDS 2030 yang menekankan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan mesyuarat pelancaran Program SKAS di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah pada Selasa.
Dalam usaha memudahkan orang awam, cadangan turut dikemukakan untuk membuka kaunter perkhidmatan oleh Service Sarawak sepanjang program berlangsung.
Inisiatif ini membolehkan masyarakat mendaftar, membuat pertanyaan, dan menerima penerangan berkaitan SKAS secara terus.
Friday menambah, pelaksanaan program ini diharapkan memberi impak positif kepada komuniti setempat, seterusnya memperkukuh usaha kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat Sarawak secara berterusan.-EDISI UKAS