Biodiversiti Sarawak Bukan Sekadar Khazanah, Aset Strategik Masa Depan
MATANG: Biodiversiti di Sarawak bukan sekadar khazanah alam semula jadi, sebaliknya merupakan aset strategik negeri yang perlu dipelihara sebagai pelaburan jangka panjang demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian pembangunan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh menegaskan kepentingan memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti bagi menjamin keseimbangan antara pembangunan dan kelestarian alam sekitar.
“Apabila kita melindungi hidupan liar dan habitatnya, kita sebenarnya sedang melindungi asas kesejahteraan jangka panjang rakyat Sarawak.
“Pemuliharaan tidak harus dilihat sebagai kos tetapi sebagai pelaburan strategik untuk masa depan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia 2026 di Matang Wildlife Centre pada Isnin.
Menurutnya, tekanan terhadap ekosistem semakin meningkat sekali gus memerlukan pendekatan pengurusan sumber asli yang lebih terancang dan berasaskan sains.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan sentiasa komited memperkukuh tadbir urus alam sekitar dengan memastikan pembangunan dan pemuliharaan dilaksanakan secara seimbang tanpa mengorbankan khazanah semula jadi negeri.
Tambah beliau, institusi seperti Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) memainkan peranan penting sebagai penghubung antara dasar kerajaan, kepakaran teknikal dan penglibatan masyarakat dalam usaha pemuliharaan.
Pada masa sama, komuniti setempat turut diiktiraf sebagai rakan kongsi utama dalam agenda tersebut, khususnya melalui pengetahuan tradisional berkaitan tumbuhan ubatan dan penggunaan sumber alam secara lestari.
Program penanaman pokok yang diadakan sempena sambutan tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan semua pihak dalam melaksanakan usaha pemuliharaan secara nyata, bukan sekadar retorik.
Turut hadir, Pengurus Besar Sarawak Forestry Corporation, Abang Arabi Abang Aimran.-EDISI UKAS