Cadangan Projek Tebingan Dan Benteng Hakisan Di Matang Dibincang
KUCHING: Satu sesi perbincangan telah diadakan bagi membincangkan beberapa cadangan projek infrastruktur melibatkan pembinaan benteng penghadang hakisan tanah di Sungai Sinjan, Jalan Merdeka serta projek naik taraf kawasan tebingan Sungai Tengah di Matang yang berlangsung di di Bilik Mesyuarat Pusat Khidmat Tupong pada Selasa.
Perbincangan tersebut dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N6 Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman sebagai langkah proaktif dalam menangani isu hakisan tanah yang semakin membimbangkan di kawasan terlibat.
Selain itu, cadangan naik taraf tebingan Sungai Tengah turut diberi perhatian bagi meningkatkan infrastruktur kawasan serta memperindah landskap persekitaran.
Difahamkan, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (DID) akan mengadakan lawatan tapak bagi mengenal pasti anggaran kos serta kaedah pelaksanaan yang paling sesuai untuk pembinaan benteng penghadang hakisan tanah di Sungai Sinjan.
Bagi projek naik taraf kawasan Sungai Tengah di Jalan Matang pula, pihak DID dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat lawatan tapak susulan bagi menilai keperluan naik taraf jambatan di Kolong 1A.
Selain itu, mesyuarat turut membincangkan cadangan pelaksanaan kerja-kerja baik pulih dan naik taraf sungai-sungai di kawasan Sungai Sebubut dan Sungai Budak bagi meningkatkan sistem saliran, mengurangkan risiko banjir serta menangani isu hakisan tanah di kawasan terlibat. -EDISI UKAS