Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Simunjan 2026 Meriah
SIMUNJAN: Suasana penuh kemeriahan dan semangat perpaduan jelas terpancar dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Agensi Kerajaan Bersama NGO Daerah Simunjan 2026 yang berlangsung di Dewan Mesra Simunjan pada Selasa.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, yang meluangkan masa bersama masyarakat serta beramah mesra dengan para hadirin, sekali gus menambahkan lagi kemeriahan sambutan Aidilfitri tahun ini.
Selain itu, majlis turut dimeriahkan dengan persembahan daripada artis jemputan tempatan yang berjaya menghiburkan para pengunjung dengan pelbagai lagu raya dan hiburan bercorak santai serta mesra keluarga.
Dalam pada itu, program turut menyaksikan penyampaian duit raya kepada anak-anak Simunjan yang jelas menceriakan wajah mereka serta menambahkan lagi kegembiraan sambutan hari raya.
Antara acara yang paling mendapat perhatian ialah pertandingan gerai tercantik yang menampilkan kreativiti luar biasa daripada para peserta dengan hiasan bertemakan Aidilfitri.
Keputusan pertandingan menyaksikan Majlis Daerah Simunjan muncul sebagai johan, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,500.
Tempat kedua pula dimenangi oleh Pejabat Daerah Simunjan dengan hadiah RM1,000, manakala Ibu Pejabat Polis Daerah Simunjan berjaya meraih tempat ketiga dengan hadiah RM800.
Selain itu, majlis turut dimeriahkan dengan persembahan daripada artis jemputan tempatan yang berjaya menghiburkan para pengunjung dengan pelbagai lagu raya dan hiburan bercorak santai serta mesra keluarga. -EDISI UKAS