Pendekatan Turun Padang Pastikan Rakyat Tatau Tidak Tercicir Bantuan Kerajaan
TATAU: Pendekatan turun padang bagi memastikan tiada rakyat tercicir daripada menerima bantuan kerajaan diperkukuh melalui penganjuran Program e-Invois dan Kaunter Luar Bantuan Khas Kerajaan, serentak dengan pelancaran Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) peringkat Daerah Tatau, pada Selasa.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus, Dato Sri John Sikie Tayai sebagai usaha memperluas capaian maklumat dan penyampaian bantuan secara lebih menyeluruh khususnya kepada komuniti luar bandar.
Beliau menegaskan bahawa program anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sarawak itu amat signifikan, lebih-lebih lagi kerana ia julung kali diadakan di Tatau, sekali gus menjadi platform penting untuk mendekati rakyat secara langsung.
Menurutnya, masih terdapat golongan yang belum menuntut bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berikutan kekurangan maklumat, justeru peranan ketua masyarakat termasuk Tuai Rumah amat kritikal dalam memastikan maklumat sampai kepada setiap lapisan komuniti.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa pelaksanaan SKAS merupakan antara inisiatif kerajaan Sarawak dalam menangani tekanan kos sara hidup, dengan bantuan disalurkan melalui platform digital SPay bagi memudahkan urusan rakyat secara tanpa tunai.
Program tersebut turut menyediakan kaunter perkhidmatan LHDN yang memberi fokus kepada penerangan pelaksanaan e-invois, percukaian serta bantuan permohonan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), sekali gus mempercepat akses rakyat kepada perkhidmatan kerajaan.
Kira-kira 100 peserta terdiri daripada ketua kaum, ketua masyarakat, peniaga kecil dan kontraktor tempatan hadir, mencerminkan keperluan tinggi terhadap inisiatif berbentuk outreach di kawasan luar bandar.
Dalam pada itu, penerima manfaat yang ditemui menyifatkan SKAS sebagai inisiatif yang relevan dan membantu, khususnya dalam meringankan beban kewangan serta memudahkan urusan harian melalui penggunaan pembayaran digital.-EDISI UKAS