Projek LRA Suai Jadi Penyelesaian Isu Tekanan Air Rendah di Niah
MIRI: Isu tekanan air rendah yang sekian lama membelenggu penduduk Niah dijangka diselesaikan sepenuhnya menjelang 2027 menerusi pelaksanaan projek pengambilan air mentah Loji Rawatan Air (LRA) Suai sebagai penyelesaian jangka panjang.
Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, projek strategik itu akan menstabilkan bekalan air khususnya di kawasan berpenduduk padat yang sering berdepan gangguan tekanan rendah.
Menurut beliau, komponen pengambilan air mentah tersebut akan memanfaatkan sumber terus dari Sungai Suai, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber sedia ada seperti Sungai Teniku dan Bukit Song di Miri yang semakin terhad.
Beliau menjelaskan langkah tersebut akan menjamin sumber air mentah yang lebih mampan selain memastikan operasi loji lebih stabil bagi memenuhi keperluan semasa serta pertumbuhan penduduk pada masa hadapan.
Beliau memaklumkan projek yang bermula pada Oktober 2025 itu dijangka siap sepenuhnya pada September 2027.
Dalam pada itu, beliau berkata daerah Subis yang mempunyai lebih 40,000 penduduk melibatkan lebih 5,000 isi rumah kini berdepan cabaran utama berkaitan tekanan air rendah, sekali gus menjadikan projek berkenaan amat kritikal.
Sehubungan itu, pelaksanaan LRA Suai dilihat sebagai pemangkin utama dalam memastikan bekalan air yang lebih konsisten dan berkualiti dapat dinikmati rakyat.
Beliau turut menegaskan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh infrastruktur bekalan air luar bandar, termasuk memperluaskan pendekatan sama ke kawasan lain seperti Samalaju dan Baram bagi menjamin kestabilan bekalan air secara menyeluruh di negeri ini. –EDISI UKAS