KUCHING: Persiapan rapi sedang giat dilaksanakan bagi memastikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Gedong 2026 berlangsung lancar dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dijangka menjadi tumpuan utama.
Mesyuarat penyelarasan yang diadakan di Kompleks Satria Pertiwi pada Selasa telah dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Gedong, Jamain Wahab.
Mesyuarat tersebut menghimpunkan pelbagai agensi berkaitan termasuk Pejabat Daerah Gedong, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Samarahan, Pusat Khidmat Gedong, pihak vendor dan katering serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan.
Perbincangan tertumpu kepada penyelarasan menyeluruh aspek pelaksanaan majlis meliputi tentatif atur cara, susun atur dewan, aliran pergerakan tetamu kenamaan serta senarai jemputan.
Kompleks Satria Pertiwi akan menjadi lokasi penganjuran dengan kapasiti melebihi 400 tetamu pada satu-satu masa, melibatkan susunan meja utama tetamu kenamaan dan meja jemputan.
Selain itu, aspek keselamatan dan kawalan lalu lintas turut diberi penekanan melalui penglibatan IPD Simunjan bagi memastikan kelancaran sepanjang majlis.
Turut dibincangkan ialah penubuhan jawatankuasa kerja merangkumi komponen protokol, jamuan, teknikal, logistik dan keselamatan bagi menjamin pelaksanaan yang teratur dan sistematik.
Majlis tersebut dijangka menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan antara kepimpinan negeri dan rakyat, di samping memupuk semangat perpaduan dalam kalangan komuniti setempat. –EDISI UKAS