OPS TIRIS 4.0: Benteng Kerajaan Kekang Harga & Ketirisan
KUCHING: Penubuhan Pasukan Khas (Task Force) OPS TIRIS 4.0 (Bersepadu) bagi Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan dalam menangani ketirisan subsidi serta mengawal kenaikan harga barang, khususnya melibatkan bahan api.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tekanan kenaikan harga ketika ini berpunca daripada peningkatan kos minyak yang memberi kesan rantaian kepada harga barangan lain.
Menurut beliau, apabila harga bahan api meningkat, kos tenaga turut naik sekali gus menyebabkan harga barangan yang bergantung kepada penggunaan bahan api turut terkesan.
“Situasi ini memerlukan pemantauan rapi oleh kerajaan melalui unit penguatkuasaan bagi memastikan tidak berlaku manipulasi harga oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai penganjuran "Teresa Teng 31st Memorial Tribute Concert 2026" pada Selasa.
Tambah beliau, langkah kerajaan Persekutuan untuk menyelaras pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk tentera dan polis dalam OPS TIRIS 4.0 adalah tepat dalam memperkukuh kawalan, khususnya di kawasan sempadan.
Beliau menjelaskan, perbezaan harga barangan dan bahan api antara Malaysia dengan negara jiran berpotensi mendorong aktiviti penyeludupan, sekali gus menjejaskan bekalan dalam negara.
“Jika kawalan di sempadan tidak dilaksanakan dengan berkesan, barangan bersubsidi boleh diseludup keluar dan ini akan menyebabkan kekurangan bekalan dalam negara serta menggagalkan usaha kerajaan membantu rakyat,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa keberkesanan dasar subsidi bukan sahaja bergantung kepada perancangan, tetapi juga kepada tahap pelaksanaan dan integriti pasukan penguatkuasaan.
“Walaupun kita mempunyai pelbagai bentuk subsidi yang baik, tanpa penguatkuasaan yang berkesan, ia boleh menjejaskan keseluruhan sistem,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan harga bahan api di Malaysia masih berada pada tahap terkawal berbanding negara lain, sekali gus menunjukkan negara ini masih berada dalam keadaan yang baik.
Beliau berpandangan, inisiatif kerajaan memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan melalui OPS TIRIS 4.0 mencerminkan pendekatan proaktif dalam memastikan subsidi serta kawalan harga benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan tidak disalahgunakan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ezzah Syafiqah
Foto: George S. Embie