Penguatkuasaan Konsisten Benteng Utama Kekang Ketirisan Diesel di Sarawak
KUCHING: Penguatkuasaan yang tegas dan berterusan dikenal pasti sebagai kunci utama dalam menangani ketirisan diesel di Sarawak, meskipun pelbagai mekanisme kawalan termasuk Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) telah diperkenalkan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan bahawa keberkesanan sistem seperti penggunaan ‘fleet card’ perlu disokong dengan pemantauan rapi serta integriti dalam pelaksanaan penguatkuasaan.
Menurut beliau, langkah memperluaskan penggunaan ‘fleet card’ ke Sabah, Sarawak dan Labuan merupakan inisiatif tepat, namun isu penyeludupan diesel yang telah lama berakar memerlukan pendekatan lebih menyeluruh.
“Penyeludupan diesel ini berlaku di mana-mana, bukan sahaja di Sibu tetapi juga di Kuching dan Miri kerana harga diesel di Sarawak lebih murah.
“Malah, kegiatan ini serta aktiviti penyorokan bekalan minyak sudah lama berlaku dan dianggap sebagai ‘rahsia terbuka’,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media berkaitan penganjuran “Teresa Teng 31st Memorial Tribute Concert 2026” pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa penguatkuasaan tidak boleh bersifat bermusim atau hanya digiatkan ketika berlakunya krisis bekalan, sebaliknya perlu dilaksanakan secara konsisten bagi menutup ruang eksploitasi.
Jelasnya, kawalan ketat terhadap pergerakan dan pengedaran bahan api adalah benteng penting bagi memastikan subsidi kerajaan benar-benar sampai kepada golongan sasaran.
“Perkara seperti penyeludupan dan penyorokan ini boleh dikawal jika penguatkuasaan dilaksanakan dengan baik, bukan hanya ketika berlaku krisis tetapi juga dalam keadaan biasa,” tambah beliau.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ezzah Syafiqah
Foto: George S. Embie