Separuh Akhir Piala Malaysia: Sokongan Padu Penentu Kuching City FC Mara Ke Pentas Final
KUCHING: Sokongan padu rakyat Sarawak dilihat sebagai pemangkin utama untuk membawa Kuching City FC melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia, sekali gus mencipta sejarah baharu buat bola sepak negeri.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menzahirkan keyakinan tinggi terhadap kemampuan pasukan itu selepas mencatat keputusan seri 1-1 dalam aksi separuh akhir pertama menentang Selangor FC di tempat lawan.
Menurut beliau, keputusan tersebut memberi kelebihan moral serta momentum penting kepada Kuching City FC untuk menghadapi perlawanan timbal balik.
“Sebagai anak Sarawak, sudah tentu kita memberi sokongan penuh kepada pasukan yang mewakili negeri ini. Walaupun membawa nama Kuching, hakikatnya ia adalah wakil seluruh Sarawak dari Limbang, Miri hingga ke Bintulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media penganjuran “Teresa Teng 31st Memorial Tribute Concert 2026” di Sarawak Club pada Selasa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu juga menyifatkan aksi pertama sebagai perlawanan yang sengit dan berkualiti tinggi, selain mempamerkan prestasi memberangsangkan pasukan walaupun beraksi di gelanggang lawan.
Mengulas perlawanan timbal balik yang dijadual berlangsung di Kuching pada 18 April depan, beliau optimis Kuching City FC mampu melakar kemenangan dengan kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri.
“Saya sangat yakin dengan prestasi pasukan. Kita masih ada 90 minit lagi untuk ditempuhi dan insya-Allah kita akan menang perlawanan kedua,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Sarawak agar memenuhi stadium bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan tersebut dalam misi memburu tempat ke final.
“Harapan saya rakyat Sarawak dari Kuching, Samarahan, Sibu, Miri dan kawasan lain hadir beramai-ramai pada 18 haribulan untuk memberi sokongan. Ini peluang untuk kita menyaksikan sejarah tercipta,” katanya lagi.
Tambah beliau, momentum yang dibawa oleh Kuching City FC ketika ini wajar dimanfaatkan sepenuhnya, apatah lagi sudah sekian lama pasukan dari Sarawak tidak berada pada tahap tersebut dalam saingan bola sepak negara.
“Kehadiran pasukan seperti Kuching City FC ini memberi suntikan semangat dan keterujaan kepada rakyat Sarawak,” jelasnya. –EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ezzah Syafiqah
Foto: George S. Embie