KUCHING: Sarawak terus melangkah ke pentas global apabila dipilih sebagai lokasi penganjuran konsert penghormatan legenda muzik Asia, Teresa Teng, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai hab pelancongan budaya antarabangsa.
Konsert ulang tahun ke-31 bertemakan “Tian Mimi (Sweet on You)” itu dijadual berlangsung pada 24 dan 25 Julai depan di Hotel Pullman Kuching hasil kolaborasi strategik antara Evac Holdings Group Sdn Bhd menerusi Luxe Event Management and Entertainment bersama Yayasan Teresa Teng.
Penganjuran acara berprestij tersebut turut mendapat sokongan penuh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) serta Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) selaras dengan usaha memperkasa industri pelancongan berasaskan acara.
Menurut penganjur, inisiatif ini merupakan langkah proaktif dalam memacu Sarawak sebagai destinasi utama pelancongan budaya, di samping merangsang pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan kehadiran pelancong.
“Penganjuran konsert berskala antarabangsa seperti ini bukan sahaja menarik pelancong luar, malah membuka peluang pekerjaan serta memberi limpahan ekonomi yang signifikan kepada komuniti setempat di Kuching,” jelasnya.
Keistimewaan konsert ini terletak pada penampilan artis antarabangsa termasuk Hu Die, penyanyi yang mendapat pengiktirafan rasmi daripada keluarga Teresa Teng, serta Wang Tianyi yang dikenali sebagai “Male Teresa Teng”.
Penonton bakal dihidangkan dengan rangkaian lagu ikonik mendiang menerusi persembahan solo dan duet, sekali gus menjanjikan pengalaman nostalgia yang merentasi generasi.
Hadir sama memeriahkan majlis pelancaran sebelum ini ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan serta Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan tiket menerusi platform dalam talian Swiftic.my atau aplikasi Pay & Go, manakala maklumat lanjut boleh diikuti melalui laman sosial rasmi penganjur. –EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ezzah Syafiqah
Foto: George S. Embie