Ahli Parlimen Tanjung Manis Turun Padang Pantau Situasi Kebakaran Hutan Pulau Bruit
DARO: Insiden kebakaran hutan tanah gambut di Pulau Bruit yang semakin membimbangkan mendorong Ahli Parlimen Tanjung Manis, Dato Ir. Yusuf Abdul Wahab turun padang meninjau sendiri keadaan di Kampung Kut, pada Selasa.
Kebakaran yang melibatkan kawasan seluas kira-kira empat hektar itu dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran oleh pekebun di kawasan berhampiran, selain dipengaruhi cuaca panas dan kering yang mempercepatkan penularan api.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut menyantuni anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan menyampaikan sumbangan makanan dan minuman sebagai tanda penghargaan atas komitmen tinggi mereka dalam mengawal kebakaran.
Menurut beliau, kekurangan anggota menyebabkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Daro terpaksa bekerja tanpa henti sehingga 24 jam bagi menangani beberapa kejadian kebakaran hutan yang berlaku serentak di kawasan sekitar.
“Komitmen anggota bomba sangat tinggi walaupun berdepan kekangan tenaga kerja. Kita amat menghargai pengorbanan mereka dalam memastikan keselamatan penduduk terjamin,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan kerjasama semua pihak bagi mengekang kejadian kebakaran daripada terus berulang, khususnya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka buat masa ini kerana risiko kebakaran sangat tinggi.