SIBU: Seramai 202 Ketua Jaringan Perikanan (KJP) dilantik di seluruh Sarawak termasuk 67 di Wilayah II, Sibu sekali gus memperkukuh peranan barisan hadapan dalam menghubungkan kerajaan dengan komuniti nelayan.
Pengarah Kanan Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Abdul Rahman Abdul Wahab berkata, pelantikan tersebut mencerminkan keperluan strategik terhadap jaringan komuniti yang mantap bagi menyokong fungsi pemantauan, penyampaian maklumat serta pembangunan sektor perikanan secara menyeluruh.
Menurut beliau, keluasan geografi Sarawak serta kekayaan sumber perikanan menjadikan peranan KJP semakin signifikan sebagai penggerak utama di peringkat akar umbi.
“Dalam keadaan geografi yang mencabar dan kawasan operasi yang luas, KJP memainkan peranan kritikal dalam memastikan penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelantikan Ketua Jaringan Perikanan (KJP) Wilayah II, Sibu 2026 pada Selasa.
Tambah beliau, kewujudan KJP bukan sahaja memperkukuh penyampaian perkhidmatan, malah menjadi saluran penting bagi memastikan maklum balas komuniti nelayan disampaikan secara tepat dan berkesan kepada pihak berkuasa.
“Peranan ini menuntut tahap kepercayaan, integriti dan kebertanggungjawaban yang tinggi agar jaringan yang dibina benar-benar memberi manfaat kepada sektor perikanan,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan seramai 43 pengusaha produk hiliran perikanan direkodkan di Wilayah II, Sibu dengan jumlah bantuan peruntukan sebanyak RM1,018,966 disalurkan sepanjang tempoh 2021 hingga 2025.
Katanya, sokongan tersebut mencerminkan komitmen berterusan jabatan dalam memperkukuh ekonomi komuniti perikanan, khususnya melalui pengembangan aktiviti hiliran yang berpotensi tinggi.
Selain itu, pelantikan KJP serta program pengukuhan selama tiga hari itu turut melibatkan kerjasama rakan strategik seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agrobank bagi meningkatkan kapasiti serta keupayaan peserta.-EDISI UKAS