Liputan Bekalan Air Terus Jadi Keutamaan Kerajaan Sarawak
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited memastikan liputan bekalan air yang menyeluruh dan berkualiti di seluruh negeri melalui pelaksanaan pelbagai projek strategik.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, antaranya termasuk pembinaan loji rawatan air baharu, naik taraf loji sedia ada, pembangunan sistem grid paip serta penggantian paip usang dengan paip baharu menggunakan peruntukan Kerajaan Sarawak sendiri.
Jelas beliau, semua usaha ini dilaksanakan melalui kementeriannya bersama agensi pelaksana iaitu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Sarawak Water.
"Pemantauan dilaksanakan secara berterusan termasuk lawatan berkala ke tapak bagi memastikan projek berjalan lancar mengikut jadual," katanya dalam laman Facebook rasminya pada Selasa.
Beliau menambah, pelaksanaan ini berpandukan Pelan Induk Air Sarawak, sistem grid air Sarawak serta program penggantian dan naik taraf paip di seluruh negeri.
Jemputan lawatan tapak turut dipanjangkan kepada wakil rakyat, pegawai kerajaan berkaitan serta KMKK bagi memastikan pemantauan bersama dapat dilaksanakan.-EDISI UKAS