Bantuan Katil Khas Ringankan Beban Pesakit Terlantar di Sarikei
SARIKEI: Golongan warga emas dan pesakit terlantar di Parlimen Sarikei terus mendapat perhatian apabila bantuan katil khas disalurkan kepada individu uzur yang memerlukan, sekali gus membantu meringankan beban penjagaan harian oleh ahli keluarga.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela, khususnya bagi golongan yang berdepan masalah kesihatan serius.
Menurut beliau, penyediaan katil khas itu amat penting bagi pesakit yang mempunyai pergerakan terhad kerana ia dapat memudahkan urusan penjagaan serta meningkatkan keselesaan mereka di rumah.
“Bantuan seperti ini bukan sahaja membantu pesakit, malah turut meringankan tanggungjawab ahli keluarga yang menjaga mereka setiap hari,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa dua penerima telah dikenal pasti layak menerima bantuan berkenaan berdasarkan keperluan semasa dan tahap kesihatan masing-masing.
Antara penerima ialah Lai Tho Shiong, 75, dari Jalan Siew Bakong, Bintangor yang mengalami keretakan tulang sehingga menjejaskan keupayaan pergerakan, serta Wong Bak Lock, 69, dari Jalan Sungai Bakong, Bintangor yang disahkan menghidap strok dan memerlukan penjagaan rapi.
Sesi penyerahan dan pemasangan katil khas telah dilaksanakan oleh pasukan Pusat Khidmat Sarikei yang diketuai oleh Wong Soon Mee bersama Tr Kinchu Ajan menerusi lawatan ke kediaman penerima.
Ahli keluarga penerima turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan yang ditunjukkan, selain menyifatkan bantuan tersebut sebagai bukti komitmen berterusan dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.- EDISI UKAS