Hampir 2,000 Pelajar di Sarikei Terima Bantuan Persekolahan Melalui Inisiatif Parlimen
SARIKEI: Usaha berterusan memperkasa kebajikan pendidikan di peringkat akar umbi terus diperkukuh apabila seramai 1,913 pelajar daripada 23 sekolah di sekitar daerah Sarikei menerima bantuan persekolahan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata inisiatif berkenaan memberi manfaat besar khususnya kepada keluarga berpendapatan rendah dan mereka yang mempunyai bilangan tanggungan yang ramai.
Menurut beliau, pemberian bantuan tersebut dilaksanakan melalui program turun padang oleh Pasukan Pusat Khidmat Wakil Rakyat yang diketuai Wong Soon Mee, dengan pengagihan dibuat secara terus kepada pelajar yang layak di sekolah masing-masing.
“Pendidikan adalah aspek penting dalam memastikan masa depan anak-anak kita terus cerah. Melalui bantuan ini, pelajar dapat mengikuti proses pembelajaran dalam keadaan lebih selesa dan yakin,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata, bantuan yang diagihkan merangkumi pakaian seragam dan kasut sekolah bagi mengurangkan beban ibu bapa ketika sesi persekolahan baharu.
Antara sekolah menengah yang menerima sumbangan ialah SMK Tong Hua, SMK Kai Chung, SMK Bandar Bintangor dan SMK Meradong.
Turut tersenarai ialah beberapa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) seperti SJKC Ming Chiang, SJKC Ming Tee, SJKC Nan Chiew, SJKC Kai Sing, SJKC Tung Kwong, SJKC Yong Kwong, SJKC Kung Cheng, SJKC Tong Hua, SJKC Yong Cheng, SJKC Nang Hua dan SJKC Ming Shing.
Selain itu, sekolah kebangsaan yang terlibat termasuk SK Ulu Meradong, SK Bukit Nibong, SK Sungai Kawi, SK Sungai Selidap, SK Sungai Sian, SK Tanjung Bundung, SK Bukit Papit dan SK Tulai.
Inisiatif ini menjadi antara komitmen berterusan pihak wakil rakyat dalam memastikan akses pendidikan yang lebih baik untuk semua lapisan masyarakat di daerah Sarikei.- EDISI UKAS