Lebih RM11.6 Juta Projek Pembangunan Untuk Kampung Bruit
BRUIT: Pelbagai projek pembangunan bernilai lebih RM11.6 juta dirancang dan sedang dilaksanakan di Kampung Bruit untuk manfaat penduduk setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan ini merupakan hasil usaha berterusan kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat khususnya di kawasan pulau dan luar bandar.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu, antara projek utama ialah cadangan Proposed Rehabilitation of Drainage and Irrigation Infrastructure of Tg. Sirik Scheme (Block C), Bruit, Pulau Bruit dengan kos RM10.5 juta di bawah kategori Projek Rakyat yang kini masih menunggu kelulusan.
“Selain itu, projek naik taraf jalan dalam Kampung Sesco No.2 bernilai RM390,000 kini dalam pelaksanaan dan dijangka siap dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2026 ADUN N.42 Semop dan Parlimen P.206 Tanjung Manis pada Selasa.
Beliau turut memaklumkan, kerja baik pulih jambatan besi di jalan masuk utama kampung dengan kos RM458,640 juga sedang dilaksanakan, manakala projek naik taraf jalan utama masuk ke Kampung Bruit bernilai RM350,000 telah melalui fasa lawatan tapak.
“Kesemua projek ini amat penting kerana cabaran utama kawasan kita adalah akses dan perhubungan. Ada kampung yang mempunyai banyak sungai dan memerlukan jambatan serta jalan yang baik untuk kemudahan penduduk,” jelasnya.
Dalam pada itu, Datuk Abdullah turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan tahniah kepada para pelajar yang berjaya dalam akademik.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada adik-adik yang berjaya memperoleh keputusan 5A ke atas. Bagi yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti, kita menyediakan inisiatif bantuan sebanyak RM1,200, manakala RM500 diberikan kepada pelajar yang mendapat 5A ke atas sebagai galakan,” katanya.
Beliau menambah, usaha ini penting bagi memastikan generasi muda di kawasan DUN Semop terus diberikan suntikan motivasi untuk berjaya dalam pendidikan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Dato Ir Yusuf Wahab turut menyokong usaha pembangunan berterusan di kawasan tersebut dan menegaskan komitmen pihaknya untuk memastikan keperluan rakyat terus diberi perhatian.
Beliau menyifatkan projek-projek yang dilaksanakan bukan sahaja meningkatkan kemudahan asas, malah membuka potensi ekonomi khususnya dalam sektor perikanan dan bekalan makanan di kawasan pulau.
Majlis sambutan Aidilfitri itu turut menjadi platform mengeratkan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat.
Sebagai penutup majlis, kanak-kanak sekolah yang hadir turut menerima duit raya sebagai tanda penghargaan dan keceriaan sambutan Aidilfitri.
Dengan jumlah keseluruhan projek bernilai RM11,698,640, penduduk Kampung Bruit kini menaruh harapan tinggi agar segala perancangan yang telah dirangka dapat direalisasikan demi kesejahteraan bersama. - EDISI UKAS