Penipah Nikmati Limpahan Pembangunan, RM6 Juta Tingkat Kualiti Hidup Penduduk
SEMOP: Lebih RM6 juta peruntukan pembangunan disalurkan ke Kampung Penipah dalam tempoh tiga tahun mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa infrastruktur luar bandar dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, pelaksanaan pelbagai projek strategik di kawasan itu kini menunjukkan kemajuan positif dan memberi impak langsung kepada penduduk.
“Kampung Penipah telah menerima peruntukan pembangunan melebihi RM6 juta dalam tempoh tiga tahun ini, melibatkan projek infrastruktur asas yang amat diperlukan rakyat,” katanya ketika Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2026 DUN Semop dan Parlimen Tanjung Manis di sini, pada Selasa.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop menambah, antara projek utama ialah rehabilitasi sistem saliran dan pengairan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Mukah bernilai RM4.5 juta yang kini dalam peringkat pelaksanaan selepas pelantikan kontraktor pada Mac 2026.
Selain itu katanya, projek pembinaan culvert baharu serta naik taraf jalan kampung bernilai RM357,000 telah siap sepenuhnya dan diserahkan pada Februari lalu.
Beliau turut memaklumkan bahawa projek naik taraf Dewan Kampung Penipah bernilai RM710,000 sedang giat dilaksanakan, manakala kerja baik pulih masjid kampung dengan kos RM280,000 telah melalui fasa lawatan tapak.
Dalam masa sama, pelaksanaan projek di bawah peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) terus memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat, termasuk pembinaan culvert serta jalan simen ke Kampung Laut bernilai RM90,000 yang siap pada Januari 2026.
Turut dilaksanakan ialah kerja menambak kawasan sekitar masjid berjumlah RM60,000 yang siap pada Mac 2026, selain pembinaan tempat letak kenderaan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Penipah bernilai RM40,000 serta penggantian pagar besi jambatan ke sekolah dengan kos RM30,000 yang telah siap pada Januari lalu.
“Keseluruhan projek ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan inklusif serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar,” ujarnya.
Turut hadir Ahli Parlimen Tanjung Manis, Dato Ir. Yusuf Abdul Wahab serta tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS