Jelajah Santuni Rakyat Bawa Impak Nyata, Tekajong Terima RM13.2 Juta
SEMOP: Pendekatan turun padang menerusi jelajah menyantuni rakyat yang merangkumi 19 lokasi dalam tempoh lapan hari membuahkan hasil apabila Kampung Tekajong menerima limpahan pembangunan dengan nilai keseluruhan mencecah RM13.245 juta.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, pendekatan tersebut membolehkan keperluan sebenar rakyat dikenal pasti secara langsung, khususnya di kawasan luar bandar yang berdepan cabaran geografi.
“Melalui jelajah ini, kita dapat melihat sendiri keperluan rakyat dan merangka penyelesaian yang lebih efektif agar pembangunan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif,” katanya ketika Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2026 di Kampung Tekajong, di sini pada Selasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu menambah, kedudukan kampung yang dipisahkan oleh sungai serta faktor lokasi pedalaman memerlukan perancangan pembangunan yang lebih tersasar dan bersesuaian dengan keperluan setempat.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan projek berskala besar yang dirancang ialah rehabilitasi sistem saliran dan pengairan di Skim Tanjung Sirik melibatkan Blok A dan B dengan anggaran kos RM11.5 juta yang kini dalam proses menunggu kelulusan.
"Beberapa projek infrastruktur asas telah berjaya disiapkan termasuk naik taraf jambatan kampung bernilai RM405,000, projek naik taraf jalan fasa satu berjumlah RM550,000 serta fasa dua melibatkan Jalan Merdeka dengan kos RM500,000.
"Kerja baik pulih Dewan Serbaguna Kampung Tekajong pula dengan anggaran kos RM250,000 turut dirancang bagi mempertingkat kemudahan komuniti, manakala projek pembinaan tempat letak kenderaan awam bernilai RM40,000 telah siap dilaksanakan.
“Keseluruhan pelaburan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat luar bandar terus dipelihara di samping merapatkan jurang pembangunan antara kawasan,” ujarnya.
Majlis anjuran Pusat Khidmat DUN Semop dan Parlimen Tanjung Manis itu turut dihadiri Ahli Parlimen Tanjung Manis, Dato Ir. Yusuf Abdul Wahab.-EDISI UKAS