TATAU: Orang ramai diingatkan agar mengelak melakukan aktiviti pembakaran terbuka dalam keadaan cuaca panas dan kering ketika ini susulan risiko kebakaran yang boleh mengancam keselamatan dan kesihatan komuniti.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, insiden kebakaran hutan di Kuala Tatau baru-baru ini wajar dijadikan peringatan kepada semua pihak mengenai seriusnya ancaman tersebut.
“Untuk rekod, kebakaran hutan di Kuala Tatau melibatkan kawasan seluas kira-kira 300 hektar dan mengambil masa selama 11 hari operasi untuk dipadamkan oleh pihak bomba. Ini menunjukkan betapa seriusnya risiko kebakaran ketika musim kemarau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program e-Invois dan Kaunter Luar Bantuan Khas Kerajaan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sarawak serta Majlis Pelancaran Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) peringkat Daerah Tatau, pada Selasa.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan sikap bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat, termasuk tidak membuang puntung rokok merata-rata yang boleh mencetuskan kebakaran, khususnya di kawasan mudah terbakar.
Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai agar mengutamakan kesihatan dengan memastikan pengambilan air mencukupi serta mengehadkan aktiviti luar ketika cuaca terik bagi mengelakkan risiko dehidrasi dan strok haba.
Turut hadir Pegawai Daerah Tatau, Calvin Ligong Anak Bujang @ Endawie serta Ketua Penolong Pengarah HASiL Sarawak, Ugak Nyun.-EDISI UKAS