Sarawak Terus Dilibatkan Dalam Penentuan Sempadan Serantau
KUCHING: Sarawak akan terus memainkan peranan penting dalam proses penentuan sempadan antara Malaysia, Indonesia dan Brunei, sekali gus memastikan kepentingan negeri itu sentiasa terpelihara dalam isu strategik tersebut.
Perkara tersebut dimaklumkan dalam kunjungan hormat Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi di Astana Negeri Sarawak pada Khamis.
Dalam pertemuan tersebut, pihak kementerian memberi jaminan bahawa Kerajaan Sarawak akan terus dilibatkan secara menyeluruh dalam setiap proses berkaitan penentuan sempadan berkenaan.
Perbincangan turut menyentuh mengenai pengembalian semula tanah-tanah Persekutuan yang tidak dibangunkan kepada Kerajaan Sarawak, selaras dengan usaha memperkukuh hak serta kepentingan negeri.
Selain itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai penurunan kuasa berkaitan pengurusan buangan terjadual di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling yang kini dalam proses untuk diserahkan kepada Kerajaan Sarawak.
Dalam pada itu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut berkongsi pandangan dan pengalaman beliau semasa berkhidmat sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar sebelum ini, di samping membincangkan perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Di akhir kunjungan, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menzahirkan penghargaan kepada Datuk Seri Arthur Joseph Kurup atas kerjasama erat yang terus terjalin antara kepimpinan Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Wira Anis Rizana Mohamad Zainudin, Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia Dato LSr Hazri Hasan, Penasihat Undang-Undang Dr Salahudin Dato Hidayat Shariff serta Setiausaha Bahagian Tanah, Ukur dan Geospatial Datuk Muhammad Yasir Yahya.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus