Yang di-Pertua Negeri Sarawak & Isteri Terima Kunjungan Yayasan Perpaduan Sarawak
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menerima kunjungan hormat daripada Yayasan Perpaduan Sarawak di Astana Negeri Sarawak pada Khamis.
Kunjungan tersebut disertai oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan-Timbalan Pengerusi Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu Numpang dan Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dato Sri Fong Joo Chung serta tetamu kenamaan lain.
Pertemuan tersebut membuka ruang perbincangan mengenai peranan dan hala tuju yayasan, termasuk usaha memperkukuh warisan tradisi pelbagai suku kaum dan etnik di Sarawak serta inisiatif memelihara budaya asli yang menjadi teras identiti masyarakat berbilang kaum.
Dalam pada itu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut berkongsi pengalaman beliau sebagai panduan dalam memperkukuh peranan Yayasan Perpaduan Sarawak agar terus relevan sebagai platform memupuk perpaduan dan keharmonian masyarakat.
Kunjungan ini turut mencerminkan hubungan erat antara institusi dan kepimpinan negeri dalam memperkasa agenda pembangunan yang inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus