FELDA Teroka Kerjasama Strategik Dengan Sarawak Dalam Ekonomi Hijau
KUCHING: Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju ekonomi hijau apabila Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) melihat potensi besar untuk menjalin kerjasama strategik dengan negeri ini khususnya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, pengurusan tanah dan pembangunan mampan.
Pengerusinya, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek menegaskan Sarawak merupakan antara negeri yang ke hadapan dalam pelaksanaan dasar ekonomi hijau termasuk penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan hidro.
Menurutnya, FELDA melihat terdapat titik persamaan yang boleh membuka ruang kerjasama lebih luas, khususnya dalam merangka dasar berkaitan kelestarian alam sekitar di peringkat nasional.
“Sebagai contohnya, Kerajaan Persekutuan mempunyai undang-undang berkaitan alam sekitar yang akan diperkenalkan di mana konsep cukai karbon akan diperkenalkan yang memerlukan mekanisme imbangan seperti kredit karbon.
“Jadi ini antara pandangan-pandangan yang saya katakan bahawa Sarawak adalah negeri yang sangat maju untuk mengemukakan perkara-perkara ini, bagaimana kita menjaga kelestarian hutan kita, bagaimana kita menguruskan ladang-ladang kita dalam kita yang sepatutnya mendapat sumber-sumber baharu pendapatan melalui kredit karbon dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi pada Khamis.
Dalam perkembangan lain, Dato’ Sri Ahmad Shabery turut memaklumkan bahawa proses penjualan Hotel Merdeka Palace di Kuching kini berada di peringkat akhir selepas mencapai persetujuan dengan pihak Pemodalan Satok Berhad.
“Setakat ini, persetujuan telah dicapai dan proses kini berada pada peringkat akhir untuk mendapatkan kelulusan pihak berkaitan.
“Kita mahu memastikan hotel yang mempunyai nilai sejarah penting kepada Kuching ini diuruskan oleh pihak yang bersesuaian dengan kepentingan negeri dan negara,” ujarnya.
Turut hadir ialah Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak (MUDeNR) Datu Abdullah Julaihi serta Pengarah Tanah dan Survei Sarawak Datu Awang Zamhari Awang Mahmood.-EDISI UKAS