Saringan Awal Kunci Bendung Peningkatan Kanser Kolorektal
KUCHING: Saringan awal dikenal pasti sebagai langkah paling berkesan dalam membendung peningkatan kes kanser kolorektal di Sarawak yang menunjukkan trend membimbangkan sejak kebelakangan ini.
Data terkini menunjukkan jumlah kes meningkat daripada 1,365 kes pada 2021 kepada 2,189 kes pada 2023, dengan Kuching merekodkan kadar insiden tertinggi.
Sehubungan itu, usaha memperkukuh saringan awal dan kesedaran kesihatan awam terus dipergiat menerusi Kempen Kesedaran Kanser Kolorektal 2026 yang berlangsung selama dua hari di Foyer Daycare Centre, Hospital Umum Sarawak.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian yang mewakili Premier Sarawak pada Khamis.
Dalam teks ucapan Premier Sarawak yang dibacakan oleh beliau, pendekatan pencegahan ditekankan sebagai strategi utama kesihatan awam.
“Pencegahan melalui saringan awal mampu menyelamatkan nyawa, khususnya dalam kalangan individu berisiko tinggi,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pengesanan awal bukan sahaja meningkatkan peluang rawatan berjaya, malah mengurangkan beban sistem kesihatan dalam jangka panjang.
Premier Sarawak turut menegaskan bahawa kesedaran mengenai kanser kolorektal perlu diperkasakan secara berterusan dan tidak terhad kepada kempen bermusim semata-mata.
“Kita perlu teruskan usaha ini sepanjang tahun kerana hanya melalui kesedaran, saringan awal dan tindakan tepat pada masanya, lebih banyak nyawa dapat diselamatkan,” katanya.
Sementara itu, Datuk Amar Dr Sim menekankan kepentingan autonomi kesihatan bagi membolehkan perancangan jangka panjang dilaksanakan dengan lebih berkesan di Sarawak.
“Kesihatan adalah soal dasar dan perancangan jangka panjang, apabila kita mempunyai autonomi, kita boleh merancang keperluan sumber, peralatan dan tenaga kerja dengan lebih tepat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai agar tidak menangguhkan saringan, khususnya golongan berisiko termasuk individu berumur 50 tahun ke atas atau mempunyai sejarah keluarga penyakit berkenaan.
Kempen tersebut turut menyediakan pelbagai pengisian termasuk kaunter pendidikan kesihatan, saringan risiko kanser kolorektal secara percuma, demonstrasi ujian FIT serta penglibatan hospital swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.
Inisiatif bersepadu ini dilihat sejajar dengan usaha memperkukuh sistem kesihatan awam negeri, khususnya dalam aspek pencegahan penyakit tidak berjangkit melalui pendekatan komuniti.
Orang ramai turut disaran peka terhadap tanda awal seperti perubahan tabiat buang air besar, kehadiran darah dalam najis serta ketidakselesaan abdomen dan segera mendapatkan pemeriksaan. -EDISI UKAS