Pendekatan Inklusif Eratkan Silaturahim Komuniti Saudara Kita di Kapit
KAPIT: Pendekatan inklusif dalam memperkukuh perpaduan komuniti pelbagai latar belakang diperkasa menerusi penganjuran Majlis Ramah Mesra Aidilfitri (Keraian Saudara Kita) yang menghimpunkan masyarakat di Bahagian Kapit, pada Khamis.
Program anjuran Pejabat Agama Islam Bahagian Kapit dengan kerjasama Urus Setia Saudara Kita Kapit itu menjadi platform penting dalam menyantuni komuniti Saudara Kita, sekali gus mengeratkan silaturahim antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat.
Ia berlangsung di Dewan Pejabat Agama Islam Bahagian Kapit dan turut dihadiri wakil agensi kerajaan serta pemimpin masyarakat termasuk Ustaz Kassim Mohidin, Temenggong Wasli Nor, Pemanca Abang Hamzah Abg Bolhasan dan Penghulu Berawi Kasah.
Pengisian program melibatkan sesi ucapan aluan, jamuan Aidilfitri serta ramah mesra yang berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh semangat kekeluargaan.
Penganjuran program tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi di samping memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang latar belakang di Kapit.
Secara keseluruhannya, majlis ini bukan sahaja meraikan Aidilfitri, malah berperanan sebagai medium strategik dalam mempererat ukhuwah serta memperkukuh keharmonian komuniti setempat.- EDISI UKAS