RMM Rangau Valley Siap Sepenuhnya, Sedia Didiami Selepas Kelulusan OP
LIMBANG: Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Rangau Valley yang dibangunkan Kerajaan Sarawak kini siap sepenuhnya dan bersedia untuk diduduki sebaik memperoleh Permit Menduduki (OP), sekali gus membuka laluan kepada penempatan semula pemilik rumah teres dua tingkat di RPR Rangau.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, projek tersebut merupakan antara inisiatif penting kerajaan negeri dalam memastikan akses perumahan yang lebih berkualiti kepada rakyat.
Menurut beliau, projek berkenaan melibatkan pembinaan sebanyak 128 unit kediaman merangkumi rumah teres dua tingkat dan rumah berkembar dua tingkat.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 68 unit merupakan rumah teres dua tingkat tengah, 25 unit rumah teres dua tingkat tepi tengah, sembilan unit rumah teres dua tingkat tepi serta 26 unit rumah berkembar dua tingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak projek pada Khamis bagi meninjau tahap kesiapsiagaan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) menjelang lawatan Premier Sarawak yang dijadualkan pada 11 April ini.
Tambah beliau, seramai 127 pemilik rumah teres dua tingkat di RPR Rangau telah dikenal pasti untuk dipindahkan ke penempatan baharu tersebut sebaik sahaja projek berkenaan mendapat kelulusan OP.
Katanya, pelaksanaan projek ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperluas penyediaan rumah mampu milik, khususnya bagi memastikan rakyat menikmati kediaman yang lebih selesa, tersusun dan selamat.
Hadir sama Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Timbalan Residen Bahagian Limbang Marie Cotilla Louise, Ketua Pegawai Eksekutif HDC Fathi Hambali, Pengarah Smart Housing R&R Sdn Bhd Dato William Wei How Sieng, Pengerusi Majlis Daerah Limbang Sufian Mohat serta Setiausaha Majlis Daerah Limbang Michelle Hildalyne Jering Anthony Luta.- EDISI UKAS