Gong Xi Raya 2026 MPKS Satukan Komuniti Berbilang Kaum Di Kota Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Penganjuran Majlis Gong Xi Raya 2026 oleh Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) mampu memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum, selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memantapkan integrasi sosial dan kesejahteraan rakyat.
Majlis yang berlangsung di perkarangan tempat letak kereta MPKS itu menghimpunkan masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, sekali gus mencerminkan keunikan keharmonian yang menjadi tunjang kekuatan negeri ini.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang dan ADUN Simunjan, Awla Idris, yang turut meluangkan masa beramah mesra dengan warga MPKS dan komuniti setempat.
Kehadiran pemimpin ini bukan sahaja memeriahkan majlis, malah menjadi simbol keakraban hubungan antara kepimpinan dan rakyat, sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap usaha kerajaan dalam memupuk perpaduan dan keharmonian sosial.
Majlis berkonsepkan gabungan sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri itu menonjolkan semangat muhibah serta toleransi tinggi dalam kalangan rakyat, mencerminkan kejayaan pendekatan inklusif kerajaan dalam menyatupadukan masyarakat berbilang budaya.
Dalam majlis berkenaan, Dato Idris Buang turut menyempurnakan penyampaian hadiah wang tunai kepada reruai terbaik sebagai penghargaan terhadap kreativiti dan komitmen peserta dalam menjayakan program tersebut.
Hadir sama, Pengerusi MPKS Abang Ismawi Abang Ali, Timbalan Pengerusi MPKS Daily Joseph dan Setiausaha MPKS Gustian Durani. -EDISI UKAS