110 Penjawat Awam Terima Pingat Perkhidmatan Setia Di Limbang
LIMBANG: Seramai 110 penjawat awam diraikan dalam Majlis Penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia di sini, pada Jumaat.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Majlis pada kali ini merupakan penganjuran kedua bagi tahun 2026, melibatkan penerima daripada 13 jabatan dan agensi, merangkumi sembilan jabatan Kerajaan Negeri dan empat agensi Kerajaan Persekutuan.
Mengetuai senarai penerima ialah Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi yang telah menabur bakti selama 33 tahun dengan penuh dedikasi dan taat setia.
Turut diraikan ialah Kalthom Ahmad dari Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak yang mencatat tempoh perkhidmatan selama 37 tahun.
Selain itu, penerima lain bagi tempoh perkhidmatan 33 tahun termasuk Maria Cotilla Louise @ Rozita Kulai dari Pejabat Residen Bahagian Limbang, Christina Joannes Antas dari Jabatan Kerja Raya Sarawak serta Ahad Tusin dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak.
Dua lagi penerima daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Roslan Abu Samah dan Lollyta Simun, turut menerima penghargaan atas sumbangan masing-masing selama 33 tahun dalam perkhidmatan awam.
Majlis berkenaan mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap komitmen dan kesetiaan penjawat awam dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta memacu pembangunan negeri.
Terdahulu, Premier Sarawak sempat menunaikan solat Jumaat di Masjid Jannatul Firdaus sejurus tiba dari Lapangan Terbang Limbang sebelum menghadiri majlis tersebut.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato’ Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengarah Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, Datu Sharifah Rohana Datu Wan Alwi.-EDISI UKAS