Program Sarawakku Sayang Perluas Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan Ke Seluruh Sarawak
LIMBANG: Kerajaan Sarawak mempergiatkan inisiatif turun padang bagi merapatkan jurang pembangunan serta memastikan setiap lapisan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman, mendapat akses terus kepada perkhidmatan kerajaan.
Menerusi Program Sarawakku Sayang, kerajaan negeri terus memperkukuh komitmen dalam menyantuni rakyat secara langsung sebagai usaha memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, Program Sarawakku Sayang merupakan pendekatan proaktif kerajaan dalam mendekati masyarakat, di samping memperkasa penyampaian maklumat serta perkhidmatan kerajaan secara lebih berkesan.
Beliau berkata, program tersebut memberi ruang kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat serta perkhidmatan secara terus daripada agensi kerajaan dalam suasana lebih dekat dan mesra.
“Objektif Program Sarawakku Sayang adalah untuk menyampaikan maklumat berkaitan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat supaya mereka dapat hadir sendiri mendapatkan perkhidmatan secara bersemuka atau ‘human touch’,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pra-Pelancaran Program Sarawakku Sayang 2026, pada Jumaat.
Menurut beliau, walaupun perkhidmatan digital semakin meluas, pendekatan fizikal masih penting bagi memastikan keperluan rakyat dapat dipenuhi secara menyeluruh.
“Walaupun perkhidmatan dalam talian tersedia, kehadiran rakyat secara langsung membolehkan perkhidmatan fizikal diberikan dengan lebih berkesan,” jelasnya.
Tambah beliau, usaha tersebut turut menyemai semangat cintakan Sarawak dalam kalangan rakyat, termasuk dalam aspek perpaduan, keharmonian serta kestabilan negeri.
Dalam pada itu, beliau berkata Limbang memiliki potensi besar untuk terus dibangunkan sebagai kawasan berdaya saing, termasuk melalui kekuatan kepelbagaian budaya, makanan serta pembangunan semasa yang sedang dilaksanakan.
Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan Program Sarawakku Sayang diyakini mampu menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif seumpamanya di lokasi lain, sekali gus memperluaskan manfaat kepada rakyat di seluruh negeri.
Program berkenaan juga dijangka memberi impak besar dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pelbagai inisiatif kerajaan, di samping memudahkan akses rakyat kepada perkhidmatan serta mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dan komuniti setempat.- EDISI UKAS