JMU 2026 Zon Sarawak II Tawar Peluang Terus Ke IPT Di Sibu
KUCHING: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf di Sarawak disaran merebut peluang menghadiri Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 Zon Sarawak II yang akan berlangsung pada 25 dan 26 April ini di Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Sibu sebagai langkah penting merancang hala tuju pendidikan tinggi.
Menurut Pengarah Pusat Pengajian Prasiswazah (PPPS) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Saptuyah Mahmud, karnival anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan UNIMAS sebagai rakan strategik itu menghimpunkan kira-kira 60 reruai melibatkan universiti awam, institusi pengajian tinggi swasta serta agensi berkaitan bagi menyediakan maklumat lengkap di bawah satu bumbung.
Ujarnya, penganjuran pada kali ini memberi penekanan kepada pendekatan berteraskan komuniti dengan membawa karnival lebih dekat kepada masyarakat di luar Kuching.
“Pemilihan Sibu sebagai lokasi bertujuan memastikan pelajar di kawasan tengah Sarawak termasuk Kapit, Song dan Sarikei tidak ketinggalan mendapatkan maklumat tepat berkaitan peluang melanjutkan pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjadi tetamu jemputan program Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Studio UKAS, pada Jumaat.
Tambah beliau, karnival tersebut turut menyediakan peluang kepada pelajar dan ibu bapa mendapatkan nasihat secara terus berkaitan program pengajian, syarat kemasukan serta pembiayaan pendidikan.
Sementara itu, Penolong Pendaftar Kanan PPPS UNIMAS, Zurina Haslin Hamzah berkata, karnival berkonsepkan “DreamX: Inspire Your Next Step” itu menyasarkan pelajar lepasan SPM, STPM dan setaraf, selain ibu bapa serta warga pendidik.
“Ini peluang terbaik untuk pelajar mendapatkan maklumat secara bersemuka dan terus daripada institusi berkaitan, sekali gus membantu mereka membuat keputusan lebih tepat mengenai masa depan,” jelasnya.
Beliau turut menggalakkan pelajar membawa keputusan peperiksaan bagi memudahkan sesi konsultasi dan semakan kelayakan program yang bersesuaian.
Selain itu, pengunjung juga boleh mendapatkan khidmat berkaitan permohonan UPU, pembiayaan pendidikan termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta pelbagai tawaran biasiswa.
Karnival JMU merupakan program tahunan KPT sejak 2011 yang terus diperkasakan sebagai platform utama penyampaian maklumat pendidikan tinggi secara terus kepada masyarakat.-EDISI UKAS