32 Pasukan, 600 Anggota Polis Meriahkan Kejohanan Badminton Piala Pesuruhjaya Polis Sarawak 2026
BETONG: Sebanyak 32 pasukan dengan penyertaan kira-kira 600 anggota polis dari seluruh Sarawak memeriahkan Kejohanan Badminton Piala Pesuruhjaya Polis Sarawak 2026 yang berlangsung di Dewan Panglima Rentap, di sini.
Kejohanan yang berlangsung selama lima hari bermula 6 hingga 10 April itu menyaksikan persaingan sengit dalam dua kategori utama iaitu kategori terbuka dan kategori berpasukan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu hadir memeriahkan kejohanan pada Khamis.
Beliau berkesempatan menyaksikan secara langsung tiga aksi final iaitu Beregu Lelaki, Beregu Wanita serta Beregu Veteran Lelaki (45 hingga 50 tahun).
Datuk Gerald kemudiannya menyempurnakan majlis penyampaian hadiah bagi kesemua enam acara dalam kategori tersebut, merangkumi Perseorangan Lelaki, Beregu Lelaki, Beregu Wanita, Beregu Veteran Lelaki (45 hingga 50 tahun), Beregu Veteran Lelaki (50 tahun ke atas) serta Beregu Lelaki (Pegawai Kanan).
Kejohanan itu dianjurkan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong sebagai tuan rumah, sekali gus menghimpunkan anggota polis dari seluruh negeri dalam semangat kesukanan dan silaturahim.
Hari terakhir kejohanan pada 10 April menyaksikan perlawanan akhir bagi kategori berpasukan sebelum tirai kejohanan dilabuhkan menerusi majlis penutupan yang disempurnakan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah.-EDISI UKAS