Loji Air Akut Rantau Panjang Capai 15 Peratus, Atasi Isu Bekalan Air Setempat
SIBU: Projek pembinaan Loji Rawatan Air Akut Rantau Panjang yang kini mencapai kemajuan 15 peratus dijangka menjadi penyelesaian jangka panjang kepada isu gangguan bekalan air dan tekanan rendah di kawasan setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek berkata, loji berkapasiti sehingga lima juta liter sehari (MLD) itu bakal memberi manfaat kepada kawasan industri limbungan kapal serta penempatan penduduk sekitar Rantau Panjang.
Menurut beliau, apabila siap kelak, loji tersebut mampu membekalkan antara tiga hingga lima juta liter air sehari, sekali gus menyokong pertumbuhan industri pembinaan kapal yang menjadi nadi ekonomi di kawasan berkenaan.
“Projek ini amat penting dalam memastikan operasi industri tidak lagi terjejas akibat masalah bekalan air, selain meningkatkan kualiti hidup penduduk,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja ke tapak projek bersama Pengerusi Persatuan Limbungan Kapal Sibu Ngieng Hock Sii, wakil Sarawak Water Sdn Bhd (Wilayah Tengah) serta Jurutera Air Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Sibu, Ts. Herda Haziqah Sekaria.
Chieng turut memaklumkan bahawa isu bekalan air di kawasan tersebut pernah dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak susulan aduan pihak industri yang terjejas.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak agar mempercepatkan kelulusan projek selepas menerima maklum balas daripada Persatuan Limbungan Kapal Sibu yang berdepan gangguan operasi.
Projek yang bermula pada Mac lalu itu dijangka mengambil masa antara lapan hingga sembilan bulan untuk disiapkan sepenuhnya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi atas tindakan pantas dalam meluluskan peruntukan serta pelaksanaan projek berkenaan.
“Ini mencerminkan komitmen tinggi kerajaan Sarawak dalam memastikan penyampaian infrastruktur asas berkualiti kepada rakyat dan sektor industri,” ujarnya.-EDISI UKAS