Projek RTP Dijangka Selesai Jun, Atasi Banjir Taman Kurniawan Fasa II
SIMANGGANG: Masalah banjir yang kerap melanda Taman Kurniawan Fasa II, Pasir Panas dijangka berakhir menjelang Jun ini susulan pelaksanaan projek menaik taraf sistem perparitan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis berkata, projek bernilai RM500,000 itu kini dalam pelaksanaan dan dijadual siap pada 22 Jun.
Menurut beliau, projek tersebut mampu mengurangkan masalah banjir yang sekian lama menjejaskan penduduk setempat.
“Apabila siap kelak, ia akan memberi kelegaan kepada penghuni di kawasan ini serta meningkatkan sistem saliran yang lebih efisien,” katanya ketika melakukan lawatan ke tapak projek pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan projek RTP pembinaan benteng hakisan di Sungai Suang, Sabu telah siap sepenuhnya lebih awal daripada jadual.
Katanya, projek bernilai RM300,000 itu dilaksanakan oleh syarikat Nuza Indah Enterprise dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sri Aman sebagai agensi pelaksana, dan siap pada 10 Mac lalu.
“Pelaksanaan projek ini penting bagi mengatasi masalah hakisan tanah yang boleh menjejaskan struktur jalan raya serta meningkatkan risiko kemalangan kepada pengguna,” jelasnya.
Hadir sama Pegawai Sokongan Jurutera DID Sri Aman, Mohd Izzizi Abing, Penolong Jurutera Ahmad Sharil Suhaili dan Janie Munan, wakil kontraktor Nurul Halim Wasli, Ahli Majlis Daerah Sri Aman Kaunselor Dilang Jungai serta Kapitan Kang Tai Hing dari Pasir Panas.-EDISI UKAS