Pengusaha Ikan Bulu Sri Aman Teruja Didekati Premier Sarawak Pada Program Forum Ekonomi DUN Lingga
SIMANGGANG: Perasaan teruja dan berdebar-debar menjadi perasaan yang dialami oleh pengusaha Opah Delitaste Sri Aman, Nur 'Izzati Zalaluddin apabila kaunter jualan produk makanan ikan bulunya dikunjungi oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Majlis Penangguhan Program Forum Ekonomi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga di Dewan Suarah Sri Aman pada Ahad.
Ketika ditemui, wanita berkenaan tidak menyangka bahawa Premier Sarawak sanggup meluangkan masa selama lima minit untuk meneliti produk makanan ikan bulunya di kaunter Opah Delitaste atau ODEL di samping bertanya mengenai selok-belok pembuatan produk terbabit.
"Saya tak menyangka akan menjadi individu pertama ditemu bual oleh beliau. Di kaunter ODEL, Premier Sarawak bertanya kepada saya bagaimana memproses produk makanan ikan bulu ini dan juga bagaimana saya memperoleh idea untuk menghasilkan produk berkenaan.
"Beliau kemudiannya mencari agensi berkaitan dan mengarah mereka untuk membantu saya. Lebih menggembirakan saya ialah apabila Premier melalui ucapan majlis penangguhannya sering menyentuh tentang produk ikan bulu yang mempunyai potensi di pasaran," katanya.
Sementara itu, Nur 'Izzati berkata, Forum Ekonomi DUN Lingga anjuran Persatuan Anak Perantau Simanggang dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Sri Aman itu telah menyalurkan membantu menyalurkan maklumat mengenai peluang-peluang yang ditawarkan oleh agensi-agensi di bawah Kerajaan Sarawak berbanding kerajaan persekutuan.
Katanya lagi, penganjuran forum berkenaan juga telah memberi pendedahan dan pandangan baru di peringkat baharu dengan produk yang diketengahkan oleh ODEL berjaya menarik perhatian pengunjung daripada luar.
"Penganjuran forum ini telah membantu mempromosi dua produk ODEL iaitu 'The Bold Buls' Ikan Bulu Masak Kicap Pedas yang dihasilkan berasaskan warisan masakan kaum Melayu dan 'The Bold Buls ' Ikan Bulu Masak Lempah Terung Asam yang dihasilkan berasaskan warisan masakan kaum Iban.
"Sambutan pengunjung ternyata amat memberangsangkan apabila sejumlah 118 daripada 148 produk makanan ikan bulu berkenaan terjual dalam tempoh dua hari penganjuran Forum Pembangunan Ekonomi DUN Lingga ini," katanya.
Nur 'Izzati menyeru kepada semua belia agar berani menceburi bidang perniagaan baharu untuk memberi pengalaman terhadap diri mereka selain mempertingkatkan ekonomi diri dan keluarga masing-masing.
Nur 'Izzati kini memiliki sebuah Hub Pemprosesan Produk Berasaskan Ikan Bulu yang berpengkalan di Kampung Pasir Panas Sri Aman dan memproses sejumlah 250 kilogram ikan bulu yang dibeli daripada nelayan dengan kos sebanyak RM25 sekilo untuk menghasilkan sejumlah 200 produk sedia makan (Ready To Eat/ RTE) dengan catatan keuntungan sebanyak RM3,000. -EDISI UKAS