Rakyat Diperkasa Menerusi E-Peraduan Sarawakku Sayang Di Limbang
LIMBANG: Usaha memperkasa pendigitalan rakyat terus diperkukuh apabila E-Peraduan sempena Program Sarawakku Sayang 2026 berjaya menarik penyertaan menggalakkan serta sambutan meriah daripada masyarakat setempat.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang, sekali gus menzahirkan sokongan berterusan kepimpinan negeri dalam memperluas penggunaan teknologi digital dalam kalangan rakyat luar bandar.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal dan Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok.
E-Peraduan ini memanfaatkan aplikasi SarawakPass sebagai medium utama penyertaan, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri dalam mempercepat transformasi digital serta membudayakan penggunaan perkhidmatan tanpa tunai dan tanpa kertas.
Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan urusan penyertaan, malah menjadi pemangkin kepada peningkatan literasi digital dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan.
Sebagai tarikan utama, pelbagai hadiah bernilai tinggi ditawarkan termasuk sebuah motosikal, telefon bimbit, air fryer, penghawa dingin serta pelbagai barangan elektrik lain.
Bagi hari pertama penganjuran, hadiah utama berupa motosikal telah dimenangi oleh Ezrayia Galau yang menyifatkan kemenangan tersebut sebagai satu pengalaman bermakna.
Penganjuran E-Peraduan ini dilihat bukan sekadar elemen hiburan, tetapi satu pendekatan strategik dalam menggalakkan rakyat beralih kepada ekosistem digital secara inklusif.
Program Sarawakku Sayang terus membuktikan peranannya sebagai platform efektif dalam mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, di samping memperkukuh kesejahteraan dan semangat kebersamaan komuniti sejajar dengan agenda pembangunan negeri.-EDISI UKAS