Lakib Beralih Ke Solusi Mampan Dengan Perancangan Dialisis Wakaf
BINTULU: Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu mengorak langkah lebih progresif dalam memperkukuh agenda kebajikan apabila menyasarkan penubuhan pusat dialisis berkonsep wakaf sebagai penyelesaian mampan kepada keperluan rawatan pesakit di kawasan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak merangkap Pengerusi LAKIB, Iskandar Turkee berkata, inisiatif tersebut menandakan peralihan peranan LAKIB daripada sekadar penyalur bantuan kepada penyedia solusi jangka panjang yang berimpak tinggi kepada masyarakat.
Menurut beliau, usaha itu kini giat digerakkan termasuk mendapatkan rakan strategik bagi memastikan pelaksanaannya dapat direalisasikan secara menyeluruh dan berkesan.
Beliau memaklumkan bahawa sekiranya segala perancangan berjalan lancar, LAKIB akan memiliki pusat dialisis wakaf sendiri untuk manfaat warga Bintulu, selain menegaskan bahawa kos rawatan dialisis yang tinggi mendorong pihaknya untuk mendapatkan kerjasama strategik bagi membantu lebih ramai pesakit khususnya dalam kalangan golongan kurang berkemampuan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri LAKIB 2026 di Dewan Suarah Bintulu pada malam Jumaat.
Tambahnya, penubuhan pusat dialisis wakaf itu bakal memberi impak besar dalam memastikan akses rawatan yang lebih inklusif dan berterusan kepada pesakit yang memerlukan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan komitmen LAKIB untuk terus memperkukuh fungsi sebagai institusi kebajikan yang responsif, inklusif dan dekat dengan rakyat.
Menurutnya, sehingga kini LAKIB telah menyalurkan hampir RM900,000 bantuan melibatkan sektor pendidikan, kebajikan serta sokongan kepada institusi keagamaan di Bintulu, sekali gus mencerminkan keupayaan organisasi tersebut dalam menyantuni pelbagai lapisan masyarakat.-EDISI UKAS