Sukan Sosek Malindo Ke-24 Perkukuh Kerjasama Malaysia-Indonesia
TEBEDU: Penganjuran Sukan Jawatankuasa Kerja Sosial Ekonomi Indonesia–Malaysia (Sosek Malindo) Ke-24 terus mengukuhkan peranan temasya tersebut sebagai platform kerjasama serantau yang berprestij dan berterusan antara Malaysia dan Indonesia, sekali gus mempererat hubungan dua hala di peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, sukan berkenaan bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi wadah penting dalam memupuk persahabatan, kerjasama dan persefahaman antara kakitangan kerajaan kedua-dua negara.
Menurut beliau, semangat kebersamaan yang dizahirkan melalui penganjuran sukan tersebut menjadi asas kepada pembentukan hubungan serantau yang kukuh, harmoni dan berdaya tahan.
“Sosek Malindo bukan sahaja menyatukan peserta melalui sukan, tetapi turut membina jaringan kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam ucapan perasmian, pada Sabtu.
Bagi edisi kali ini, pelbagai acara menarik telah disusun melibatkan dua kategori utama iaitu sukan tradisional dan sukan moden.
Antara acara tradisional yang dipertandingkan ialah tarik tali, selipar gergasi, lari dalam guni, pisang buta dan do re mi, yang mengetengahkan elemen warisan budaya dan semangat berpasukan.
Manakala bagi sukan moden, acara seperti badminton, futsal, ping pong dan bola sepak turut dipertandingkan dengan bola sepak dijadikan acara kemuncak yang dijangka menarik tumpuan utama peserta dan penyokong.
Penyertaan melibatkan kakitangan kerajaan daripada pelbagai agensi dengan setiap peserta hanya dibenarkan menyertai satu acara, bagi memastikan penglibatan lebih menyeluruh serta peluang yang seimbang.
Turut hadir, Timbalan Residen Bahagian Serian Abdul Khalid Manap, Pegawai Daerah Tebedu Gerard George Entigar, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) Julian Allen dan Camat Kecamatan Entikong Kalimantan Barat Miko Martoyo. -EDISI UKAS