Karnival Sukan SK Long Lamei Perkasa Pembangunan Holistik Murid Luar Bandar
MULU: Penganjuran Karnival Sukan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Long Lamei terus memperkukuh pembangunan holistik murid luar bandar, khususnya dalam aspek sahsiah, disiplin dan kepimpinan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen & Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala berkata, platform seperti ini menjadi pemangkin penting dalam melahirkan generasi pelajar yang seimbang dari segi akademik dan kokurikulum.
Beliau yang menyempurnakan perasmian karnival di Sekolah Kebangsaan Long Lamei menegaskan bahawa penglibatan aktif dalam sukan mampu membentuk pelajar yang berdaya tahan, berdisiplin serta mempunyai nilai kepimpinan dan semangat kesukanan yang tinggi.
Dalam masa sama, beliau menzahirkan kebanggaan terhadap pencapaian sekolah berkenaan yang berjaya melahirkan individu cemerlang seperti Ezra Uda dan David Kala, sekali gus mencerminkan potensi besar anak luar bandar untuk berjaya.
Menurut beliau, kejayaan tersebut menjadi bukti bahawa akses pendidikan berkualiti mampu membuka peluang kepada murid di pedalaman untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negeri.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Guru Besar, Angeline Renly, pihak sekolah, PIBG serta komuniti setempat atas komitmen berterusan dalam memperkasa kecemerlangan pendidikan.
Dalam pada itu, beliau menyeru ibu bapa agar terus memainkan peranan aktif dalam menyokong perkembangan anak-anak, memandangkan sokongan keluarga merupakan asas penting dalam membentuk keyakinan dan kejayaan pelajar.
Para pelajar turut digesa memanfaatkan platform karnival tersebut untuk mengasah bakat, membina daya saing sihat serta menghayati nilai sebenar kesukanan, di mana pengalaman dan pembentukan jati diri lebih utama daripada kemenangan semata-mata.-EDISI UKAS