Warisan Budaya Jadi Teras Sambutan Aidilfitri Asajaya 2026
ASAJAYA: Penganjuran Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Peringkat Daerah Asajaya 2026 bukan sekadar sambutan perayaan, sebaliknya menjadi platform strategik dalam memperkukuh perpaduan komuniti serta memartabatkan warisan budaya tempatan.
Berlangsung meriah di Kompleks Sukan Asajaya, majlis yang menghimpunkan ribuan pengunjung itu diserikan dengan pelbagai pengisian berkonsepkan tema ‘Raya Menseya, yang mengetengahkan keunikan adat dan tradisi masyarakat setempat melalui hiasan, busana serta aktiviti yang dianjurkan.
Majlis bermula seawal jam 8 pagi itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, bersama Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.
Ketibaan dif-dif kehormat disambut penuh adat oleh masyarakat setempat, diiringi persembahan tarian selamat datang yang mencerminkan kekayaan budaya daerah berkenaan.
Pelbagai aktiviti komuniti diadakan sepanjang program, termasuk pertandingan Bertuntong Asajaya yang menyaksikan Kampung Asajaya Ulu muncul juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM750.
Bagi pertandingan Gerai Terbaik, Reruai No. 7 yang merupakan gabungan Kampung Sebandi Ulu, Kampung Sebandi Matang, Kampung Sebandi Lot, Kampung Moyan Laut Hilir dan Kampung Moyan Laut Hulu berjaya meraih tempat pertama dan turut menerima hadiah wang tunai RM750.
Sementara itu, pertandingan Pakaian Glamour Raya bertemakan ‘Raya Menseya’ menyaksikan Adamia Zulaikha Johari dinobatkan sebagai juara kategori wanita, manakala kategori lelaki dimenangi oleh Satar Mat, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM200.
Majlis turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah serta pemberian duit raya kepada kanak-kanak yang menjadi tarikan utama, sekali gus menambahkan lagi keceriaan sambutan Aidilfitri tahun ini.
Hadir sama, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pengarah Muzium Sarawak Nancy Jolhi, Pegawai Daerah Asajaya Merangkap Pengerusi Pengelola Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Peringkat Daerah Asajaya 2026 Jerry Zannuddin Bidin, Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak, Pegawai Daerah Gedong Jamain Wahab dan Pengerusi Perbandaran Majlis Perbandaran Kota Samarahan Abang Ismawi Abang Ali. -EDISI UKAS