Limbang Bakal Dibangunkan Sebagai ‘Low Carbon City’
LIMBANG: Limbang berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai bandar rendah karbon (low carbon city) yang mampan dan berdaya saing, sekali gus menjadi tarikan baharu kepada pelancong serta pelabur luar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata pembangunan Limbang perlu dirancang secara tersusun dengan mengambil kira aspek kelestarian alam sekitar selari dengan trend pembangunan global masa kini.
“Kalau Darul Hana dapat dibangunkan di Bandar Raya Kuching, apakah Limbang tidak boleh kita bangunkan sebagai low carbon city? Ini boleh menjadi trend setter kepada pembangunan bandar lain di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Limbang di Kompleks Sukan Limbang pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau menekankan kepentingan pembangunan berkonsepkan rendah karbon bagi menjamin kesejahteraan rakyat melalui pengurangan pencemaran serta peningkatan kualiti hidup.
“Semakin rendah karbon dan pencemaran, semakin terjamin kesihatan kita. Oleh itu, perancangan pembangunan Limbang perlu mengambil kira aspek ini,” jelasnya lagi.
Terdahulu, ujarnya beliau bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof serta delegasi lain turut menyertai aktiviti walkabout di sekitar Bandar Limbang untuk meninjau pemandangan kampung seberang serta laluan menuju ke Jambatan Limbang yang dijangka siap antara September hingga Oktober tahun ini.
Tambah beliau, usaha tersebut bakal merapatkan lagi hubungan ekonomi dan kekeluargaan antara Sarawak dan Brunei Darussalam.
Dalam masa sama, beliau mencadangkan agar pembangunan tebingan sungai di Limbang yang kini merupakan antara yang terpanjang di Sarawak dipertingkatkan lagi sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan bandar yang lebih komprehensif.
Langkah tersebut katanya bukan sahaja memperindah bandar, malah mampu meningkatkan daya tarikan Limbang sebagai destinasi pelancongan baharu di utara Sarawak.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Amar Fadillah Yusof serta isteri, Datin Amar Ruziah Mohd Tahir, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian, Menteri-Menteri, Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi Pengelola SKS 2026, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri, Timbalan-Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Residen Limbang, Unus Tambi, Ketua-Ketua Jabatan dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta warga Limbang. - EDISI UKAS