Sarawak Catat Peningkatan Dalam Sektor Pelancongan
KUCHING: Sarawak terus mencatatkan prestasi memberangsangkan dalam sektor pelancongan apabila merekodkan peningkatan ketara dari segi jumlah ketibaan pelawat serta hasil pelancongan pada Januari.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, bulan tersebut sahaja telah mencatatkan seramai 437,677 pengunjung, meningkat 9.27 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Ketibaan pelancong antarabangsa meningkat kepada 247,063, manakala pelancongan domestik mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi iaitu 14.05 peratus kepada 190,614 pengunjung," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) International X-Games 2026 di Tebingan Sungai Kuching pada Sabtu.
Dato Sri Abdul Karim menambah, hasil pelancongan turut menunjukkan peningkatan positif apabila mencapai RM1.115 bilion, sekali gus meningkat hampir RM100 juta berbanding tempoh Januari tahun lepas.
Jelasnya, perkembangan ini mencerminkan keyakinan yang semakin kukuh terhadap Sarawak sebagai destinasi pelancongan pilihan, khususnya dalam segmen pelancongan sukan yang semakin berkembang pesat di peringkat global.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak itu memberitahu, acar bertaraf antarabangsa seperti DBKU International X-Games 2026 dilihat memainkan peranan penting dalam merangsang pertumbuhan tersebut apabila berjaya menarik kehadiran atlet, peserta dan pelancong dari dalam serta luar negara.
Ujarnya, ia mempromosikan Sarawak di pentas antarabangsa sekali gus turut memberi limpahan ekonomi kepada pelbagai sektor termasuk hospitaliti, pengangkutan serta perusahaan kecil dan sederhana.
"Sarawak kini semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai hab acara sukan antarabangsa, selaras dengan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa industri pelancongan dan menjana pertumbuhan ekonomi mampan," jelas beliau. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie