Program Jelajah Ramah Tamah Aidilfitri 2026 DUN Semop Berakhir di Kampung Serdeng
SEMOP: Program Jelajah Ramah Tamah Aidilfitri 2026 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop melabuhkan tirainya di Kampung Serdeng pada Sabtu, selepas berlangsung selama lapan hari bermula 3 April lepas.
Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 19 lokasi telah dikunjungi dalam siri jelajah yang dipimpin oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol, bersama Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab.
Sebelum itu, pada sebelah pagi, kedua-dua wakil rakyat itu beramah mesra bersama penduduk di Kampung Sedo untuk majlis yang sama.
Program ini bukan sahaja bertujuan meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri, malah menjadi platform penting untuk mendekatkan pemimpin dengan rakyat melalui interaksi secara bersemuka sekali gus memperkukuh hubungan serta meningkatkan kepercayaan antara rakyat dan kepimpinan setempat.
Sepanjang siri jelajah tersebut, pelbagai inisiatif Kerajaan Sarawak telah disampaikan kepada penduduk di setiap kampung, termasuk perkembangan projek-projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan bagi memastikan rakyat sentiasa mendapat maklumat tepat serta memahami hala tuju pembangunan di kawasan masing-masing.
Menurut kedua-dua wakil rakyat, setiap projek yang dirancang memerlukan tempoh pelaksanaan tertentu, namun komitmen kerajaan tetap jelas dalam memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat secara menyeluruh.
Pelaksanaan projek-projek ini adalah selaras dengan matlamat Program Transformasi Luar Bandar (RTP), yang memberi fokus kepada penyediaan kemudahan asas serta pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar.
Antara keutamaan termasuk peningkatan sistem perhubungan jalan, telekomunikasi, bekalan air bersih dan elektrik.
Pada masa yang sama, setiap projek yang dilaksanakan turut menitikberatkan impak ekonomi dan sosial bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak terus ketinggalan berbanding kawasan bandar.
Sektor pendidikan juga tidak diketepikan, dengan penekanan diberikan terhadap usaha meningkatkan akses pembelajaran yang lebih berkualiti.
Langkah ini penting dalam melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi menjadikan Sarawak sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.-EDISI UKAS