Pesta Kaul Oya Perkukuh Budaya, Pacu Ekonomi Komuniti
OYA: Pesta Kaul Oya bukan sekadar acara tradisi, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan inklusif serta pengukuhan ekonomi komuniti setempat selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kerajaan negeri kekal komited dalam memastikan pembangunan yang seimbang di seluruh negeri, termasuk di kawasan luar bandar seperti Oya dan Dalat.
Menurut beliau, pendekatan pembangunan itu tidak hanya tertumpu kepada penyediaan infrastruktur asas dan kemudahan awam, tetapi turut merangkumi pemerkasaan komuniti melalui sokongan terhadap acara kebudayaan seperti Pesta Kaul.
"Pesta Kaul bukan sahaja berperanan dalam memelihara warisan budaya, malah menjadi platform mengeratkan perpaduan masyarakat serta merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat tempatan.
"Pesta ini juga merupakan warisan budaya yang sarat dengan nilai tradisi, melambangkan rasa syukur serta keharmonian antara manusia dan alam, di samping menjadi simbol perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaul Oya Edisi 2026, di Tebingan Sungai Lebuk Kaul Oya, pada Sabtu.
Menjelas lanjut, Dato Sri Fatimah berkata, penganjuran pesta tersebut turut membuka ruang kepada masyarakat pelbagai peringkat untuk berkumpul, mengeratkan silaturahim serta mengukuhkan hubungan antara generasi di samping memupuk semangat saling menghormati dan bekerjasama dalam kalangan komuniti.
Menurutnya lagi, impak penganjuran Pesta Kaul turut dirasai dari segi ekonomi apabila ia memberi peluang kepada usahawan kecil dan penduduk tempatan untuk menjana pendapatan.
Beliau berharap agar warisan budaya seperti Pesta Kaul terus dipelihara dan diperkasakan sebagai aset ekonomi negeri.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Residen Bahagian Mukah Shafrie Saili, Pegawai Daerah Dalat Mathew Hubert, Temenggong Hendi Suhai dan Penghulu Pawi Ramli.-EDISI UKAS