LIMBANG: Limbang bakal disambungkan kepada grid tenaga negeri pada Julai ini sekali gus mengukuhkan bekalan elektrik di bahagian tersebut.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata antara fokus utama kerajaan ialah memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil dan kos efektif, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada penjana diesel yang menelan perbelanjaan tinggi setiap tahun.
“Ketika ini, bekalan elektrik di Limbang dan Lawas masih banyak bergantung kepada generator diesel. Tahukah kita bahawa kos pembelian diesel sahaja mencecah sekitar RM150 juta setahun?
“Sebab itu kita mempercepatkan pelaksanaan ‘state grid’ supaya bekalan elektrik dapat disalurkan terus ke kawasan ini.
"Alhamdulillah, Lawas telah siap pada Disember lepas dan Limbang dijangka disambungkan menjelang Julai tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Perasmian Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Limbang, pada Sabtu.
Tambahnya, dengan siapnya sambungan grid tersebut, rakyat tidak lagi bergantung kepada diesel, sekali gus mengurangkan kos serta kesan kenaikan harga bahan api.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan usaha kerajaan membina jaringan jambatan di seluruh Sarawak bagi menggantikan perkhidmatan feri yang turut bergantung kepada diesel.
“Kalau dahulu kita bergantung kepada feri, sekarang kita bina jambatan. Di Sarawak, kita tidak kenakan tol, semuanya dibiayai oleh kerajaan negeri demi kemudahan rakyat,” ujarnya.
Mengulas mengenai masa depan tenaga, beliau menegaskan bahawa Sarawak kini berada pada landasan tepat dengan memberi tumpuan kepada sumber tenaga alternatif dan lestari.
Beliau menjelaskan bahawa Sarawak mempunyai empat sumber utama tenaga iaitu hidro, solar, biojisim dan gas, yang mampu menjamin bekalan tenaga mencukupi untuk jangka panjang.
Selain itu, Sarawak juga sedang meneroka teknologi hidrogen dan pengeluaran metanol hijau sebagai sumber tenaga masa depan, termasuk untuk industri perkapalan.
“Dengan sumber tenaga yang mencukupi, kita mampu menarik pelabur datang ke Sarawak dan pada masa sama mengawal tarif tenaga,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakyat agar terus mengekalkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum sebagai asas pembangunan negeri.
“We are very fortunate. We must maintain our unity, our comradeship and our human relations. Kita bangunkan Sarawak untuk semua, bukan untuk satu kaum sahaja,” tegasnya.-EDISI UKAS