Jaringan Udara, Logistik Utara Sarawak Diperkasa Pacu Mobiliti, Lonjak Ekonomi
LIMBANG: Jaringan udara dan logistik di utara Sarawak terus diperkasa sebagai pemangkin utama mobiliti lebih cekap serta lonjakan ekonomi, khususnya di Limbang dan Lawas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelaksanaan projek strategik termasuk pembinaan lapangan terbang baharu di Lawas serta pembesaran Lapangan Terbang Limbang bakal mempertingkat kecekapan pergerakan rakyat dan pelabur.
“Pembinaan lapangan terbang Lawas baharu dan pembesaran Lapangan Terbang Limbang akan memperkukuhkan ‘air connectivity’, sekali gus membuka ruang kepada pergerakan lebih efisien.
“Cadangan pembinaan pelabuhan laut dalam pula akan meningkatkan ‘sea connectivity’, menjadikan kawasan ini lebih kompetitif dari segi logistik dan perdagangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Limbang di Kompleks Sukan Limbang, pada Sabtu yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Beliau menambah, penyediaan infrastruktur perhubungan yang menyeluruh akan meletakkan Limbang dan Lawas sebagai pintu masuk utama di utara Sarawak.
“Dengan infrastruktur lengkap, Limbang dan Lawas berpotensi menjadi pintu masuk utama di bahagian utara. Bekalan elektrik di Lawas kini telah disambung ke State Grid, manakala Limbang juga akan dihubungkan ke sistem sama,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Limbang masih bergantung kepada set jana kuasa berasaskan bahan api fosil yang menelan kos tinggi susulan kenaikan harga minyak.
Sehubungan itu, beliau berharap penyambungan ke sistem grid negeri dapat dipercepatkan, selain penambahbaikan liputan telekomunikasi yang akan terus diperluas.
“Dengan kemudahan ini, kita yakin pembangunan Limbang dan Lawas dapat dipacu dengan lebih pesat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan turut menyasarkan Limbang dan Lawas sebagai hab pendidikan serta pusat peningkatan kemahiran bagi masyarakat di wilayah utara.
“Hasrat kita adalah menjadikan Limbang dan Lawas sebagai hab pendidikan dan pusat pembangunan kemahiran masyarakat di utara Sarawak,” katanya lagi.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu jemputan lain. -EDISI UKAS