RMM Ranggau Limbang Siap, Harga Kekal Murah Bantu Pembeli
LIMBANG: Penantian pembeli Rumah Mampu Milik (RMM) Ranggau Limbang untuk mendapatkan kediaman yang selesa dengan harga yang berpatutan kini menjadi kenyataan selepas projek tersebut siap sepenuhnya dan sedia untuk diduduki.
Lebih menggembirakan apabila pembeli hanya perlu membayar denga harga yang lebih murah bagi setiap unit rumah teres dua tingkat tengah atau hujung selepas Kerajaan Sarawak bersetuju untuk mengekalkan harga asal rumah tersebut.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa mengumumkan berita gembira itu berkata pengekalan harga lama adalah untuk rumah teres dua tingkat tengah atau hujung dengan nilai semasa rumah di antara RM353,000 hingga RM361,000.
“Orang yang beli rumah lama, dia pindah dari situ, harganya masih lama. Yang pentingnya harganya masih lama.
“Walaupun harga rumah di situ di antara RM353,000 hingga RM361,000, samada intermediate ataupun corner,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak projek RMM Ranggau Limbang pada Sabtu.
Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Industri Makanan) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian merangkap Pengerusi HDC Abdul Yakub Arbi serta tetamu kenamaan yang lain.
Premier bagaimanapun menjelaskan harga lama itu tidak tertakluk kepada rumah jenis berkembar dua tingkat (Semi-D).
Katanya, selain perumahan, kawasan tersebut akan dibangunkan sebagai bandar baharu rendah karbon yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Limbang, pusat-pusat komersil serta hotel.
Menurut beliau, kawasan itu juga akan dihubungkan ke pusat bandar sebagai nadi baharu ekonomi di Limbang.
Sementara itu, Premier berkata Limbang bakal memiliki pusat pentadbiran yang bukan sahaja canggih malah menekankan konsep hijau apabila pembinaan IAC Limbang itu siap sepenuhnya pada November tahun ini.
“Maknanya Limbang dan Lawas mempunyai pejabat pentadbiran yang canggih.
“Ini menggambarkan bahawa pembangunan kita di sini, bukan sahaja menekankan low carbon, tetapi mengekalkan kombinasi warisan dan kemodenan,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Premier bersama dif-dif kenaman lain sempat meninjau tapak projek IAC Limbang yang menelan kos pembinaan sebanyak RM157,200,000.
Pusat pentadbiran yang mula dibina pada 11 Januari 2021 itu akan menempatkan 11 agensi kerajaan negeri, sekali gus menjadi ikon baharu di Limbang apabila ia siap kelak. - EDISI UKAS