AirBorneo Mulakan Penerbangan Antarabangsa Selepas Julai Ini
LIMBANG: Syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo akan memulakan penerbangan antarabangsa selepas pembelian tiga pesawat Boeing selepas Julai ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, empat destinasi telah dikenal pasti sebagai permulaan iaitu Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Singapura dan Jakarta.
Katanya, penambahan Jakarta sebagai destinasi penerbangan antarabangsa AirBorneo bertujuan menggalakkan sektor pelancongan kesihatan di negeri ini.
“Tapi apa yang pentingnya Jakarta sejam 20 minit dari Kuching, untuk kita menggalakkan pelancongan kesihatan. Datuk Sim sebenarnya maok tok. Supaya banyak medical tourist,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak projek RMM Ranggau Limbang pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik cadangan agar landasan Lapangan Terbang Limbang yang kini sedang dinaiktaraf dipanjangkan lagi bagi membolehkan pesawat Boeing mendarat di situ.
Katanya, Kuching kini menjadi destinasi pilihan bagi pelancong terutama dari Jakarta untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
Bagi memenuhi keperluan pelancong, Premier berkata Sarawak kini sedang membina Hospital Gleneagles Kuching di Batu Lintang dan Tabuan Jaya.
Menurutnya, semua hospital tersebut dilengkapi dengan peralatan canggih bagi memastikan pesakit mendapat rawatan yang terbaik.
Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Industri Makanan) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian merangkap Pengerusi HDC Abdul Yakub Arbi serta tetamu kenamaan yang lain. - EDISI UKAS